Friday, 18 February 2011

Pengenalan Puspanita

PUSPANITA atau nama singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama, Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali.

Di peringkat awal penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan serta tanggung-jawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT).

Bagi mengukuhkan kedudukan pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa Isteri Perdana Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan ini.

Di samping pembentukan perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan ahli-ahli.

Pelbagai program dan aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan misinya. Antaranya adalah Rancangan Lima Tahun PUSPANITA, Tabung PUSPADARA PUSPANITA dan Tabung Latihan PUSPANITA. Kejayaan PUSPANITA adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan penaung dan penasihatnya. Ini diikuti dengan kerjasama dan sokongan padu Majlis Tertinggi (MT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT) serta warga PUSPANITA.

No comments: